Tempat menarik Seremban

Dataran Seremban

Dataran Seremban yang menghiasi pintu masuk utama ke bandar Seremban mulai mengamit perhatian dan menjadi kawasan tumpuan pengunjung yang popular. Kawasan lapang yang selesa, pancuran air yang menenangkan, lampu hiasan yang indah, sesuai dijadikan persinggahan bagi melepaskan lelah selepas penat berjalan melawat Seremban. Di kawasan Dataran Seremban juga terdirinya tiang bendera Malaysia yang tertinggi di Negeri Sembilan iaitu mencecah hampir 100 kaki.[6]

Kompleks Kraf Negeri Sembilan

Kompleks Kraf ini dibina bagi memelihara kekayaan budaya dan warisan masyarakat Negeri Sembilan. Hasil kraftangan yang halus ini turut dipamerkan dan dijual di kompleks ini. Kompleks Kraf yang terletak di Jalan Dato Abdul Kadir, Seremban ini diuruskan oleh Perbadanan Kraftangan Negeri Sembilan turut menempatkan hasil kraftangan dari seluruh Negeri Sembilan. Pembukaan cawangan keenam Karyaneka Kraf Boutique di kompleks tersebut turut menyumbang kepada kepelbagaian pilihan kraf Malaysia untuk jualan. Kebanyakan kraftangan yang terdapat di sini dibuat di pusat inkubator dan latihan usahawan kraftangan Kuala Pilah.[7]

Ladang Burung Unta

Terkenal sebagai pusat riadah untuk seisi keluarga, Jelita Ostrich Show Farm di Jalan Jelebu bukan saja membiakkan burung berkenaan, malah menggunakan segala kelebihan yang ada pada haiwan tersebut.

Muzium Negeri

Muzium Negeri Sembilan telah ditubuhkan pada tahun 1953 iaitu apabila Yam Tuan ke-8, Tuanku Abdul Rahman memberikan kebenaran supaya Istana Ampang Tinggi Kuala Pilah dipindahkan ke Taman Bunga di Jalan Dato' Hamzah, Seremban dan dijadikan sebagai Muzium Negeri.

Taman Tasik Seremban

Taman Tasik Seremban merupakan pusat rekreasi dan riadah paling popular di Seremban yang berjaya menarik perhatian ramai pengunjung terutamanya pada hari cuti dan hujung minggu. Taman Tasik ini merupakan salah satu dari taman tasik semulajadi yang tertua di Malaysia. Lokasi yang sesuai, mudah dikunjungi dan selamat untuk seisi keluarga menjadikan taman ini pilihan popular para pengunjung.[8]

Taman Budaya

Taman Rekreasi Seremban 2

Taman yang dibuka tahun 2005 ini menyediakan pelbagai aktiviti, daripada trek riadah, gimnasium serta gelanggang bola keranjang, futsal dan badminton. Ia juga sesuai pada mereka yang ingin merehatkan fikiran bersama keluarga sambil menyaksikan pancuran air terjun dari bangku rehat atau wakaf yang disediakan.

Taman Malaysia

Seremban International Golf Club (SIGC)

Merupakan sebuah lapangan golf bertaraf antarabangsa di Ampangan, salah satu subbandar Seremban.